Sabtu, 19 Februari 2011

Dalam Kenangan


Barisan Pentadbir dan guru - guru yang terlibat dalam Perayaan Sambutan Jubli Emas SKBR

 Suasana kelas yang terletak di bangunan kayu (bangunan paling awal di bina)
Bangunan kayu yang belum dirobohkan

Asalnya kuaters Guru Besar yang kemudiannya diubahsuai untuk dijadikan khutubkhanah sekitar tahun 1968 . Tetapi bangunan ini telah dirobohkan pada tahun 1986.
Suasana dalam khutubkhanah 
Tapak perhimpunan  yang dibina bersama bangunan blok B pada tahun 1959,sebelum berpindah ke Dataran Perhimpunan sedia ada pada tahun 1998.

Selasa, 15 Februari 2011

Sambutan Jubli Emas SK Batu Rakit

Sambutan Jubli Emas SKBR telah diadakan pada 15 Ogos 1991. Perasmian pembukaan Perayaan Jubli Emas telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad.
Menteri Besar Terengganu disambut meraih ketika tiba ke Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas
Menteri Besar sedang memeriksa perbarisan
Ucapan perasmian oleh YAB Menteri Besar Terengganu
Persembahan pencak silat
YAB Menteri Besar menyempurnakan istiadat membuka tirai Batu Peringatan Jubli Emas
YAB menteri Besar mengambil kesempatan melawat gerai pameran

Isnin, 14 Februari 2011

Pentadbir SK Batu Rakit

GURU BESAR

 Tn Hj Mohd Jaaffar Bin Che Muda
                                                    
                                                                                          
 Penolong Kanan Pentadbiran
 En.Che Azih Mohd


 Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
 Hjh Wan Mariah Binti Hj Yaakob


Penolong Kanan Ko Kurikulum
 Hjh Jummilah Binti Hj.Mohd Dahlan

Penolong Kanan Petang
 Hjh Ramlas Binti Ishak

Cogan Kata, Visi, Misi dan Piagam Pelanggan SK Batu Rakit

Cogan Kata:
ILMU SULUH HIDUP

Visi Sekolah:
SEKOLAH KEBANGSAAN BATU RAKIT CEMERLANG 2011

Misi Sekolah:
Mempertingkatkan Potensi Murid Melalui Pengurusan Yang Cekap Dan Iklim Sekolah Yang Kondusif

Piagam Pelanggan:

Mempertingkatkan kemajuan sekolah dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum.
Mempereratkan hubungan sillaturrahim antara guru, ibu bapa, murid dan PIBG.
Membentuk murid yang berdisplin, berhemah tinggi, berakhlak mulia dan bertaqwa.
Membentuk murid ke arah insan berwawasan di masa akan datang.
Memberi peluang dan menggalakkan murid mengeluarkan pendapat secara terbuka.
Mengembeling setiap tenaga ke arah persefahaman pemuafakatan dan toleransi dalam setiap tugas.
Ikhlas dalam menjalankan tugas dengan berharap pada keredhaan ilahi.
Membimbing, menunjuk ajar serta memberi perangsang agar murid dapat mencapai segala cita - cita di masa akan datang.

Hitam Putih SK Batu Rakit



Ahad, 13 Februari 2011

Lencana dan Bendera SK Batu Rakit

Maksud Lencana:

Menara    :- Arah tuju kejayaan
Obor        :- Semangat api ilmu yang berkobar -kobar
Buku dan mata pena    :- Memberi dan menuntut ilmu sepanjang hayat
Simbol Geometri, rehal dan 5 gelung    :- 3 simbol berada di kiri dan kanan logo menunjukan      keseimbangan kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan kerohanian.
Warna pada Logo  :- Kuning melambangkan perpaduan. Hijau melambangkan keharmonian.

 Warna Pada Bendera

Warna Merah:- Melambangkan keberanian
Warna Putih:- Melambangkan Ketulusan dan kesucian
Warna Hijau:- Melambangkan keharmonian

Lagu Sekolah

Ilmu Suluh Hidup
Sinar cahaya ilmu
Menyuluh Hidup  kami
Kami murid Batu Rakit
Menuju arah jaya
Dengan berkat doamu
Kami terus berusaha
( di ulang 2 kali)


Gambar SK Batu Rakit di peringkat awal



Sejarah Penubuhan SK Batu Rakit

Ringkasan Sejarah
Sekolah Kebangsaan Batu Rakit

Sekolah Kebangsaan Batu Rakit dinamakan bersempena dengan nama Kampung Batu Rakit. Nama Batu Rakit diambil sempena dengan kewujudan satu jajaran batu yang permukaan atasnya kelihatan timbul yang  terletak lebih  kurang 300 meter di tengah laut dari pantai yang kelihatan seolah-olah ianya sebuah rakit. Menurut penduduk tempatan di dasar laut batu itu melebar seperti bukit dan ditengah-tengah atas jajaran batu itu pula terdapat lubang sebesar “timba” yang dipanggil “telaga” oleh penduduk setempat. Jika jajaran batu ini dilihat daripada tiga penjuru berlainan, ia pasti kelihatan sama sahaja.

Pada tahun 60-an, penduduk tempatan sangat percaya kepada “bisa” batu tersebut. Sesiapa yang terkejut apabila terlihat batu tersebut pasti akan membawa demam yang berlarutan dan pernah berlaku dikatakan demam sehingga membawa maut. Oleh itu, penduduk setempat berhati-hati supaya tidak bertembung dengan batu tersebut ketika pulang daripada menangkap ikan. Pada ketika itu, batu tersebut tidak diletakkan apa-apa penanda atau rumah api sebagai petunjuk kepada nelayan terutamanya pada waktu subuh atau malam. Kerana “bisa” batu itu juga, ia dijadikan tempat untuk menyempurnakan “hajat”. Apabila hajat sudah tercapai penduduk akan menaiki sampan membawa persembahan  untuk diletakkan di atas batu itu. Persembahan yang biasa di bawa oleh penduduk seperti ayam putih, nasi kunyit atau telur.

Selain daripada kepercayaan kepada ”bisa” batu ditengah-tengah laut, satu lagi kepercayaan penduduk sekitar ialah ”semah pantai”. ”Semah pantai” adalah bertujuan untuk membawa ikan yang banyak kepada nelayan. Ia dilakukan setahun sekali selama 7 hari 7 malam. Acara yang biasa dilakukan adalah melibatkan ayam putih, nasi kunyit dan telur. Bahan-bahan ini akan dihanyutkan dengan perahu kecil yang dibuat khas untuk upacara ini. Selain itu, kumpulan menora juga dipanggil khas daripada Negara Thailand untuk membuat persembahannnya. Pembayaran untuk kumpulan menora biasanya dibiayai oleh peniaga-peniaga ditepi pantai dan juga tekong-tekong motobot. Aktiviti ini dijalankan di Kampung Pengkalan Atap berhampiran ’rest house’.

Pada zaman pencerobohan tentera Jepun ke Tanah Melayu, pihak tentera Jepun pernah mengebom batu tersebut kerana ianya disangka sebagai kapal perang tentera British.
 Gambar batu rakit yang terletak lebih kurang 300 meter dari persisiran pantai

Penubuhan dan Perasmian Sekolah

Dalam lingkungan tahun 1937, Batu Rakit ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah yang bernama Yang Mulia Syed  Abdul Kadir Abdullah Al-Aidarus dan bergelar Yang Mulia Engku Pengiran Anum. Beliau dikenali oleh penduduk Batu Rakit sebagai Engku Kadir.  Engku Pengiran Anum adalah seorang pentadbir yang dikenali oleh penduduk sebagai seorang yang menitikberatkan kemajuan ekonomi dan pendidikan penduduk setempat. Beliau sentiasa berusaha supaya kanak-kanak di kawasan Batu Rakit mendapat didikan persekolahan secara formal.

Dengan dorongan yang kuat serta usaha-usaha gigih Ketua Kampung Pantai Batu Rakit ketika itu, iatu Encik Yusof bin Ismail dan Penghulu Batu Rakit, Encik Ali bin Salleh, Engku Pengiran Anum telah mendesak Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu supaya membina sebuah sekolah di kawasan Batu Rakit. Akhirnya pada tahun 1937, sebuah sekolah telah didirikan  oleh kerajaan di atas sebidang tanah seluas 3.8 ekar, terletak berhampiran dengan Bukit Bucu iaitu tapak sekolah yang kekal sehingga ke hari ini.
Allahyarham Haji Yusoff bin Ismail
Allahyarham Yang Mulia Syed Abdul Kadir Abdullah Al-Idris (Engku Pengiran Anum)

Pada mulanya hanya didirikan 2 buah bangunan di atas tapak sekolah, iaitu sebuah bangunan utama sekolah dan sebuah lagi ialah rumah guru yang dikhaskan sebagai rumah kediaman Guru Besar. Bangunan utama sekolah ialah sebuah bangunan kayu beratap nipah berukuran 63 x 26 kaki. Bangunan ini kemudiannya diubahsuai mengikut keadaan masa tetapi rangka asalnya masih dikekalkan. Walaupun sudah tua, bangunan yang tertua dan paling bersejarah di perkarangan sekolah ini masih berdiri megah memberi khidmat baktinya kepada sekolah setanding dengan bangunan-bangunan yang baru.

Sekolah ini telah dibuka secara rasminya pada tanggal 1hb Mei 1939. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Ibni Almarhum Al Sultan Zainal Abidin. Turut sama hadir di hari perasmian yang bersejarah itu, antara lain ialah Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir Sutton Thomas, Penasihat British di Terengganu, Pengarah Pelajaran Terengganu, Pegawai Daerah Batu Rakit dan beberapa orang kenamaan yang lain.

Tanggal 1hb. Mei 1939 adalah satu tarikh yang bersejarah bagi bidang pendidikan di Daerah Batu Rakit. Pada tarikh ini secara rasminya bermulalah satu bentuk pendidikan formal yang dijalankan mengikut sukatan pelajaran yang diiktirafkan oleh kerajaan. Sekolah berbangunan kayu ini dengan rasminya dinamakan Sekolah Melayu Batu Rakit.

Kumpulan murid-murid pertama yang berdaftar pada 1hb Mei 1939 berjumlah 47 orang. Mereka diambil dari peringkat umur yang berbeza-beza; ada yang masih kecil dan ada yang sudah belasan tahun umurnya. Kesemuanya lelaki yang terdiri daripada keturunan Melayu yang tinggal di kampung-kampung berdekatan dengan kawasan sekolah. Ada juga sebilangan kecil di antara mereka tinggal di Kampung Telipot, Maras dan Mengabang Lekor yang sanggup datang berjalan kaki berbatu-batu meredah hutan. Tidak semua ibu bapa ketika itu suka menghantar anak mereka ke sekolah terutamanya anak-anak perempuan. Setelah beberapa tahun persekolahan berjalan, bilangan murid kian bertambah dan makin ramai ibu bapa mulai sedar tentang kepentingan pelajaran di sekolah. Kumpulan murid perempuan yang pertama yang dapat dikesan terdiri daripada tiga sahabat. Seorang anak Guru Besar dan dua orang lagi ialah anak perempuan Penghulu Ali bin Salleh.

Pada peringkat awal persekolahan, hanya terdapat seorang guru yang mengajar di Sekolah Melayu Batu Rakit, dan beliaulah juga bertugas sebagai Guru Besar. Guru Besar yang dimaksudkan ialah Cikgu Muhammad bin Abdullah yang berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu. Di sebelah pagi Guru Besar mengajar murid-murid membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Manakala di sebelah petang, murid-murid diajar mata pelajaran agama daripada seorang guru agama yang bernama Cikgu Mohamad bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mohamad Duyong. Beberapa tahun kemudian barulah datang seorang guru penolong iaitu Cikgu Razali bin Su. Selepas itu, bilangan guru semakin bertambah dengan bertambahnya bilangan murid. Pertambahan bilangan guru dan murid bertambah rancak berlaku, selepas Perang Dunia Kedua iaitu selepas pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu.


PERSEKOLAHan SEMASA PEMERINTAHAN JEPUN

Semasa zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945, suasana persekolahan di Sekolah Melayu Batu Rakit berjalan seperti biasa. Bahasa Melayu masih dikekalkan sebagai bahasa pengantar. Sementara bahasa Jepun telah diperkenalkan sebagai salah satu mata pelajaran wajib di sekolah. Tiap-tiap pagi murid- murid dikehendaki menyanyi lagu-lagu dalam Bahasa Jepun di antaranya termasuklah lagu ’’Kimigayo’’. Murid-murid juga diwajibkan bersenam pada tiap-tiap pagi sebelum  memasuki kelas.

Disekitar tahun 1943 hingga 1945, ada beberapa murid Sekolah Melayu Batu Rakit telah diambil menjadi tenaga pengajar sebagai Guru Pelatih. Di antaranya yang dapat dikesan ialah Cikgu Ali bin Ideris dan Cikgu Yusof bin Salleh. Mereka berdua merupakan kumpulan murid Sekolah Melayu Batu Rakit yang pertama menjawat jawatan guru. Ada juga terdapat lepasan Sekolah Melayu Batu Rakit diambil bekerja sebagai pegawai kerajaan semasa pemerintahan Jepun tetapi kebanyakkan daripada mereka kembali menjadi nelayan atau petani apabila pemerintahan Jepun berakhir.

            Selain daripada itu, tidak banyak perubahan yang dapat dikesan berlaku sepanjang zaman pemerintahan Jepun. Sekolah berjalan pada dua sidang seperti biasa, pagi dn petang. Pada sidang petang, pelajaran agama berjalan tanpa gangguan dari orang-orang Jepun. Mata pelajaran ini diajar  oleh seorang guru agama bernama Cikgu Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Mat Chik.    


PERSEKOLAHan SElepas PEMERINTAHAN JEPUN

Setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu pada tahun 1945, Sekolah Melayu Batu Rakit mula rancak menerima perubahan dan kemajuan terutamanya dari segi kemajuan murid. Perubahan yang dianggap bersejarah bermula apabila seorang Guru Penolong dari Sekolah Melayu Bukit Jambul, Kuala Terengganu dinaikkan pangkat dan berpindah ke Sekolah Melayu Batu Rakit sebagai Guru Besar, Cikgu Daud bin Awang.

.         Cikgu Daud ialah seorang Guru Besar yang dianggap berjasa kepada Sekolah Melayu Batu Rakit. Pada masa perkhidmatan beliau dari tahun 1945 – 1951, banyak kemajuan-kemajuan yang telah diusahakan oleh beliau untuk sekolah dan juga masyarakat Batu Rakit amnya. Diantara usaha gigih beliau ialah memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan pendidikan sekolah kepada anak-anak, mengatasi kekurangan guru dengan melatih murid-murid lepasan Sekolah Melayu Batu Rakit sehingga ramai anak tempatan Batu Rakit dapat menjadi guru dan mewujudkan kelas  Guru Pelatih di Sekolah Melayu Batu Rakit dengan mendapat pengiktirafan daripada Pejabat Pelajaran Negeri.

            Pada tahun 1945, bilangan murid Sekolah Melayu Batu Rakit ialah seramai 145 orang. Keadaan ini amat menyedihkan kerana mengikut bancian, kira-kira 300 orang kanak-kanak yang layak bersekolah. Oleh kerana kurang kesedaran di kalangan ibu bapa, ramai di antara mereka sudah bekerja sebagai ‘awak-awak’, pukat tarik di pantai atau membantu ibu bapa disawah. Melihat keadaan ini, Cikgu Daud selaku Guru Besar ketika itu dengan bantuan Penghulu Ali dan OCS Polis Batu Rakit iaitu Encik Ali bin Baba telah berusaha keras memujuk supaya ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Hasil dari usaha gigih memberi kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan pelajaran untuk masa depan anak-anak mereka, maka ramailah  ibu bapa mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Keramaian murid berganda pada tahun berikutnya dan menyebabkan sekolah tidak dapat menampung pertambahan murid.

            Dengan mendapat sokongan kuat daripada penduduk Batu Rakit, sebuah bangunan bangsal telah didirikan secara bergotong-royong pada tahun 1948. Bangunan sementara ini berukuran 60 x 20 kaki, bertiangkan kayu tembesu, beratap nipah, berlantaikan tanah, berdinding sekerat dari anak-anak kayu kuat, bermeja dan berbangku panjang dari kepingan papan. Bangunan yang dapat bertahan selama tujuh tahun ini, dapat menampung buat sementara murid-murid dari darjah satu dan darjah dua.

            Usaha-usaha untuk membersih dan memagar kawasan sekolah juga mula dilakukan untuk menyekat kemasukan binatang ternakan. Ini membolehkan aktiviti-aktiviti pertanian, yang merupakan salah satu darpada mata pelajaran  yang diajar kepada murid, dapat dijalankan dengan baik. Pagar sekolah yang pertama didirikan oleh murid-murid sekolah daripada anak-anak kayu kuat. Pagar ini tidak dapat bertahan lama, ia ditukarkan dengan tanaman buluh cina yang kekal sehingga ke awal tahun 70-an.

Murid lepasan SMBR menjadi guru

Selepas tentera British mengambilalih pemerintahan daripada tentera Jepun pada 15hb. Ogos 1945, guru-guru yang dilantik semasa pemerintahan Jepun tidak diiktiraf dan diberhentikan daripada jawatan. Di antara guru-guru Sekolah Melayu Batu Rakit yang terlibat termasuklah Cikgu Ali bin Ideris, Cikgu Yusof bin Salleh dan Guru agama, Cikgu Mohamad Said. Oleh kerana kekurangan guru, Guru Besar telah memujuk guru-guru tersebut untuk terus berkhidmat dengan jaminan untuk membuat perlantikan baru. Walau bagaimanapun rancangan ini tidak berhasil menambah bilangan guru.

            Langkah kedua yang diambil oleh Guru Besar ialah dengan memberi peluang kepada bekas murid-murid Sekolah Melayu Batu Rakit menjadi Guru Pelatih. Dibawah skim ini, murid-murid dipilih berdasarkan kepada markah peperiksaan darjah lima. Mereka  ini  yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan pertama, sudah mempunyai pekerjaan tetapi dipujuk supaya bersekolah semula di dalam darjah lima selama setahun. Semasa menjalani latihan sebagai Guru Pelatih, mereka mendapat bimbingan dari Guru Besar untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Di antara murid-murid Sekolah Melayu Batu Rakit yang terpilih menyertai skim ini termasuklah:      

Encik Ismail bin Mahmud
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1946 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1947. Malangnya, anak Batu Rakit yang pertama menjejak kaki ke pusat pengajian tinggi ini meninggal dunia semasa pengajian.

Encik Abdul Manan bin Yusof
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1949. Beliau merupakan pelajar Terengganu yang pertama memperolehi pangkat pertama dari MPSI.

Encik Muda bin Yusof
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1948 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1949.

Encik Khalid bin Ibrahim
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1950.

Encik Abdul Rahman bin Omar
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1949 dan berjaya ke MPSI pada tahun 1950.

Encik Ali bin Muda
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1949  kemudian mengikuti latihan ‘Teacher Under Other Scheme’ (TUOS)

Encik Ali bin Husain
Diterima masuk menjadi guru pelatih pada tahun 1949  kemudian mengikuti latihan ‘Teacher Under Other Scheme’ (TUOS)


Kelas guru pelatih

Oleh kerana prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Sekolah Melayu Batu Rakit dalam menghasilkan guru-guru pelatih untuk masuk ke MPSI, pada tahun 1949 pihak Pejabat Pelajaran  Negeri telah mengiktiraf kelas Guru Pelatih di sekolah ini. Dengan pengiktirafan ini, guru-guru yang mengajar kelas Guru Pelatih pada hari Jumaat dan Sabtu akan dibayar elaun sebanyak $5.00 (RM5.00) sejam. Kelas ini mengajar satu sukatan pelajaran khas yang disediakan oleh Pejabat Perlajaran Negeri Terengganu bagi menyediakan guru-guru pelatih  untuk menduduki peperiksaan ke MPSI.

            Kelas guru pelatih ini telah ditubuhkan oleh Guru Besar, Cikgu Daud bin Awang. Di antara guru-guru yang terlibat dengan kelas ini ialah Guru Besar sendiri dan Guru Penolong, Cikgu Awang bin Ibrahim.apabila Cikgu Awang bertukar sekolah, tugas beliau diambilalih oleh Cikgu Wan Ibrahim bin Othman (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu, kawasan Batu Rakit). Kelas guru pelatih ini berjalan sehinggadigantikan dengan kelas Pusat Latihan Harian (Day Training Center – DTC) di Kuala Terengganu.

            Di antara murid-murid lepasan Sekolah Melayu Batu Rakit yang berpeluang mendapat didikan di kelas Guru Pelatih ini termasuklah :

Cikgu Ibrahim bin Mahmud
Cikgu Mansor bin Ibrahim
Cikgu Ali bin Mahmud
Cikgu Othman bin Said
Cikgu Yusof bin Ali
Cikgu Awang bin Musa
Cikgu Harun bin Ali
Cikgu Ramli bin Yusof
Cikgu Abdul Ghani bin Salleh
Cikgu Wan Ramlah binti Dato’ Dalam
Cikgu Ramlah binti Yusof
Cikgu Ngah bin Jusoh
Cikgu Md. Teh bin Md. Amin
           
Perkembangan sekolah selepas merdeka

Dalam suasana hangat orang-orang Melayu menyertai perjuangan ”Malay Union” untuk mendapat kemerdekaan darip[ada Inggeris, bidang pendidikan di tanahair turut sama menerima perubahan. Sekolah-sekolah menengah semakin bertambah. Semasa Cikgu Mohammad bin Alimenjadi Guru Besar (1951-1956), ramai murid-murid daripada sekolah ini dikesan dapat menyambung pelajaran mereka ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, di Kuala Terengganu. Sidang petang masih lagi dikhaskan kepada pengajian agama. Di antara guru agama yang bertugas di sekolah ini pada masa itu termasuklah  bekas Mufti Negeri Terengganu iaitu Dato’ Engku Alwi bin Engku Haji Ambak.

            Sejarah pendidikan negara telah maju setapak dengan terlaksananya Dasar Pelajaran Razak. Penguatkuasaan Dasar ini pada tahun 1956 telah mengubah nama Sekolah Melayu kepada Sekolah Umum. Daripada tarikh ini Sekolah Melayu Batu Rakit mula dikenali sebagai Sekolah Umum Batu Rakit.

            Kemerdekaan Tanah Melayu yang dicapai pada 31hb. Ogos, 1957 merubah kepimpinan Negara. Corak pemikiran masyarakat juga  turut berubah. Pada tahun-tahun berikutnya, masyarakat di Batu Rakit, khasnya sekolah ini turut sama menikmati arus pembangunan  yang melanda di seluruh negara. Bilangan murid Sekolah Umum Batu Rakit  terus bertambah selepas merdeka. Pada tahun 1959, semasa Cikgu Awang bin Ibrahim menjadi Guru Besar, Pejabat Pelajaran Negeri telah mendirikan sebuah sekolah baru berbentuk separuh kekal daripada batu blok, iaitu Blok B yang ada sekarang ini. Bangunan ini telah dibuka dengan rasminya oleh Encik Awang Khalid bin Othman, Menteri Muda Pelajaran Malaysia pada tanggal 12hb. April 1960.

            Cikgu Awang bin Ibrahim ialah Guru Besar yang paling lama berkhidmat di sekolah ini iaitu selama 14 tahun, dari 1958 sehingga 1972. Beliau bukanlah orang baru di sekolah ini kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Guru Penolong semenjak awal tahun 40-an lagi. Semasa perkhidmatan beliau sebagai Guru Besar, tidak banyak kemajuan yang dapat dikesan semasa perkhidmatan beliau. Walau bagaimanapun pada tahun 1959, sebuah kantin dibina untuk kemudahan murid-murid dan guru-guru pada waktu rehat. Satu lagi peristiwa penting yang berlaku iaitu sekolah ini sekali lagi mendapat nama baru. Pertukaran nama ini berlaku pada tahun 1960 apabila Penyata Rahman Talib dilaksanakan. Dengan penguatkuasaan Penyata ini, Sekolah Umum Batu Rakit dengan rasminya bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Batu Rakit. Bermula pada tahun ini juga, pengajian agama tidak lagi diasingkan disebelah petang. Ianya mula diajar sebagai salah satu mata pelajaran disebelah pagi. Seterusnya Cikgu Haji Wan Khalid bin Ismail pula menggantikan tempat Cikgu Awang bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan sekolah dari tahun 1972.

            Pada keseluruhannya, keadaan persekolahan pada masa itu masih lagi kurang memuaskan. Bangunan sekolah yang ada, bangunan kayu asal dan bangunan blok B, masih tidak dapat menampung keramaian murid di ketika itu yang berjumlah 540 orang. Ramai juga bilangan murid sekolah ini telah dipindahkan ke sekolah-sekolah baru yang berdekatan. Walau bagaimanapun ia tidak dapat mengurangkan kadar pertambahan kemasukan murid ke Sekolah Kebangsaan Batu Rakit. Ini menyebabkan sesi persekolahan terpaksa dijalankan dalam dua sidang.

            Bagi mengatasi masalah kekurangan kelas kerana pertambahan murid kian meningkat, pada tahun 1976, sekolah Kebangsaan Batu Rakit telah mendapat satu lagi bangunan tambahan. Bangunan ini, blok C, berukuran 160 x 30 kaki telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Wan  Mokhtar bin Ahmad pada 19hb.  Julai 1977. Perasmian bangunan tambahan ini dilakukan sempena perayaan menyambut genap 38 tahun usia sekolah.

Pada tahun 1980, 2 unit rumah guru dibina bagi menggantikan rumah guru yang lama. Dengan keprihatinan dan muafakat pihak sekolah dan PIBG di atas kekurangan bilik darjah, maka sebuah bangunan kayu telah dibina untuk dijadikan bilik darjah pada tahun 1982.  Pelbagai kemudahan telah dibekalkan namun kemudahan terhadap penghayatan agama tetap tidak ditinggalkan. Maka pada tahun 1982, sebuah surau dibina untuk kegunaan murid-murid dan guru-guru. Ketika itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Rakit ialah Cikgu Haji Omar bin Mohamad.